X-C-Den
Wednesday, June 22nd, 2005Pasangan mahu ambil cucu maut, Abang jenguk setiap hari beri semangat; adalah antara tajuk utama dan yang menjadi perhatian aku ketika menatap Surat Khabar semalam. Bagaimanalah nasib ahli keluarga yang kini bergelar yatim piatu? Betapa sedihnya hati melihat pertanyaan anak-anak kecil yang yang belum mengerti apa-apa tentang kehidupan kehilangan tempat bergantung dan kasih sayang ibu dan bapa ketika masih kecil. Malah, kematian pelajar tahun satu digilis lori pada hari guru dihadapan ibunya sendiri masih segar dalam fikiran kita. Beginilah kita kehilangan tonggak negara yang akan mewarisi kepimpinan negara pada masa akan mendatang, ini adalah harga paling tinggi yang terpaksa kerajaan bayar selain kerugian wang ringgit dan kemudahan awam yang lain. Memang benar maut dan ajal di tangan Allah, tetapi kita masih mampu untuk mencuba dengan usaha, doa dan tawakkal. Langkah-langkah untuk mengatasi masalah ini perlu dipraktikkan dengan segera bagi meminimumkan kemalangan maut di negara kita yang memang merupakan antara negara yang mempunyai kadar kemalangan yang paling tinggi di dunia. Segalanya perlu bermula dari rumah lagi, ibarat melentur buluh biarlah dari rebungnya. Ibu bapa perlu memainkan peranan penting ketika mendidik anak-anak terutamanya dalam aspek kerohanian, Apabila aspek kerohanian sudah dititikberatkan dan kena pada tempatnya, secara otomatiknya motivasi diri akan tinggi yang akan menguntumkan fikrah untuk menjaga hak pada diri-sendiri dan juga hak orang lain. Ini adalah cara terbaik kerana masing-masing mengetahui cara dan kaedah dalam mendidik ahli keluarga mereka. Selain itu, Kepimpinan Mahasiswa terutamanya badan yang mewakili suara mahasiswa iaitu Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dengan kerjasama pihak Universiti , perlu untuk merangka beberapa pendekatan dan program mengikut status mereka sebagai mahasiswa dalam menangani atau dalam meminimumkan kemalangan terutamanya kemalangan maut yang berlaku. Malah di kawasan kampus juga merupakan tempat di mana kemalangan sentiasa berlaku, malah kita juga pernah dimaklumkan dengan beberapa kematian yang membabitkan mahasiswa yang baru masuk tahun pertama mahupun yang hanya tinggal satu semester untuk bergelar graduan. Program yang bercorak selain daripada ceramah perlu banyak dipraktikkan untuk menarik golongan mahasiswa turut serta dalam membantu menangani masalah ini. Pihak media turut memainkan peranan penting dalam membantu menyedarkan rakyat Negara ini melalui output yang mereka salurkan, tidak kira media cetak mahupun media elektronik kerana semuanya sudah menjadi bahan perlu pada masa kini. Iklan-iklan yang lebih menyentuh perasaan dan seterusnya mampu menginsafkan perlu ditayangkan secara terus-menerus dan bukannya hanya ketika Negara digemparkan dengan kemalangan-kemalangan yang mendapat liputan meluas. Penulisan tentang kepentingan keluarga,orang tersayang dan hala tuju negara juga diharap mampu untuk mengurangkan masalah yang telah meruncing ini. Seterusnya, yang lebih berhak dalam mengawal pimpinannya adalah kerajaan yang memerintah. Kerajaan juga telah banyak melakukan yang terdaya dari segi kempen, ceramah dan banyak lagi. Tetapi ternyata masih belum mampu untuk menyedarkan rakyatnya. Antara perkara yang dapat dicuba ialah melakukan pembaharuan dalam sistem yang digunapakai di Sekolah Memandu dalam memberikan lesen kepada peserta yang baru dalam dunia pemanduan. Di sini banyak perkara yang boleh dipraktikkan, terutamanya dari segi ceramah dan bengkel yang disampaikan perlu ditambah lagi beberapa perkara untuk menyedarkan peserta terutamanya golongan muda yang ghairah dalam memandu dan penekanan bukan hanya setakat untuk memandu secara berhemat ketika hendak mendapatkan lesen sahaja tetapi berterusan untuk selamanya. Malah, waktu yang agak terbatas untuk bengkel juga mungkin boleh menjadi faktor kepada ketidakberkesanannya. Segalanya dipadatkan dala beberapa jam hanya dalam sehari. Pihak Kerajaan dan NGO perlu berganding bahu dalam melaksanakan pembaharuan yang mana dikira perlu dan semua pihak yang lain perlu turun padang untuk membantu. Semoga segala pembaharuan kita ini akan membuahkan hasil yang manis kelak .