Archive for February, 2008

Bercouple bukan budaya orang yang Beriman

Friday, February 22nd, 2008

3023279775 BERCOUPLE, setiap kali kita mendengarnya akan terlintas di benak kita sepasang insan yang sedang mabuk cinta dan dilanda asmara. Saling mengungkapkan rasa sayang serta rindu, yang kemudiannya memasuki sebuah biduk pernikahan.

Lalu kenapa harus dipermasalahkan? Bukankah cinta itu fitrah setiap anak adam? Bukankah setiap orang memerlukan masa penyesuaian sebelum pernikahan?

CINTA, Fitrah Setiap Manusia, MANUSIA diciptakan oleh ALLAH SWT dengan membawa fitrah (instinct) untuk mencintai lawan jenisnya.
Sebagaimana firman-NYA;

Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa  yang diingini, iaitu wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi ALLAH lah tempat kembali yang baik (Syurga). (Ali Imran: 14).

Berkata Imam Qurthubi: ALLAH SWT memulai dengan wanita kerana kebanyakan manusia menginginkannya, juga kerana mereka merupakan jerat-jerat syaitan yang menjadi fitnah bagi kaum lelaki, sebagaimana sabda Rasulullah SAW;

Tiadalah aku tinggalkan setelahku selain fitnah yang lebih berbahaya bagi lelaki daripada wanita.
(Hadis Riwayat Bukhari, Muslim, Tirmidzi, Ibnu Majah)

Oleh kerana cinta merupakan fitrah manusia, maka ALLAH SWT menjadikan wanita sebagai perhiasan dunia dan nikmat yang dijanjikan bagi orang-orang beriman di syurga dengan bidadarinya.

Dari Abdullah bin Amr bin Ash r.a. berkata; Rasulullah SAW bersabda;
Dunia ini adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita yang solehah.
(Hadis Riwayat Muslim, NasaI, Ibnu Majah, Ahmad, Baihaqi)

ALLAH berfirman; Di dalam syurga-syurga itu ada bidadari-bidadari yang baik-baik lagi cantik-cantik. (ar-Rahman: 70)

Namun, Islam tidak membiarkan fitnah itu mengembara tanpa batasannya. Islam telah mengatur dengan tegas bagaimana menyalurkan cinta, juga bagaimana batasan pergaulan antara
dua insan berlawanan jenis sebelum nikah, agar semuanya tetap berada pada landasan etika dan norma yang sesuai dengan syariat.

Fatwa Ulama
Syaikh Muhammad bin Shaleh al-Utsaimin ditanya tentang hubungan cinta sebelum nikah.

Jawab beliau;
Jika hubungan itu sebelum nikah, baik sudah lamaran atau belum, maka hukumnya adalah haram, kerana tidak boleh seseorang untuk
bersenang-senang dengan wanita asing (bukan mahramnya) baik melalui ucapan, memandang, atau berdua-duaan. Sebagaimana

Rasulullah SAW bersabda:
Janganlah seorang lelaki bedua-duaan dengan seorang wanita kecuali ada bersama-sama mahramnya, dan janganlah seseorang wanita berpergian kecuali bersama mahramnya.

Syaikh Abdullah bin abdur Rahman al-Jibrin ditanya;

Jika ada seseorang lelaki yang bercorrespond dengan seorang wanita yang bukan mahramnya, yang pada akhirnya mereka saling mencintai,apakah perbuatan itu haram?

Jawab beliau; Perbuatan itu tidak diperbolehkan, kerana boleh menimbulkan syahwat di antara keduanya, serta mendorongnya untuk bertemu dan berhubungan, yang mana correspond/berhubungan semacam itu banyak menimbulkan fitnah dan menanamkan dalam hati seseorang untuk mencintai penzinaan yang akan menjerumuskan seseorang pada perbuatan yang keji, maka dinasihati kepada setiap orang yang menginginkan kebaikan bagi dirinya untuk menghindari surat-suratan,pembicaraan melalui telefon, serta perbuatan semacamnya demi menjaga agama dan kehormatan dirinya.

Syaikh Jibrin juga ditanya; Apa hukumnya kalau ada seorang pemuda yang belum menikah menelefon gadis yang juga belum menikah?

Jawab beliau; Tidak boleh berbicara dengan wanita asing (bukan mahram) dengan pembicaraan yang boleh menimbulkan syahwat,
seperti rayuan, atau mendayukan suara (baik melalui telefon atau lainnya). Sebagaimana firman ALLAH SWT; Dan janganlah kalian melembutkan suara, sehingga berkeinginan orang-orang yang
berpenyakit di dalam hatinya. (al-Ahzaab: 32).

Adapun kalau pembicaraan itu untuk sebuah keperluan, maka hal itu tidak mengapa apabila selamat daripada fitnah, akan tetapi hanya sekadar keperluan.

Syubhat Dan Jawapan Yang Sebenarnya Keharaman bercouple lebih jelas dari matahari di siang hari. Namun begitu masih ada yang
berusaha menolaknya walaupun dengan dalil yang sangat rapuh, antaranya:

Tidak Boleh dikatakan semua cara bercouple itu haram, kerana mungkin ada orang yang bercouple mengikut landasan Islam, tanpa melanggar syariat.

Jawabnya: Istilah bercouple berlandaskan Islam itu Cuma ada dalam khayalan, dan tidak pernah ada wujudnya. Anggap sajalah mereka boleh menghindari khalwat, menyentuh serta menutup aurat. Tetapi tetap tidak akan boleh menghindari dari saling memandang, atau saling membayangkan kekasihnya dari masa ke semasa. Yang mana hal itu jelas haram berdasarkan dalil yang kukuh.

Biasanya sebelum memasuki alam perkahwinan, perlu untuk mengenal terlebih dahulu calon pasangan hidupnya, fizikal, karaktor, yang mana hal itu tidak akan boleh dilakukan tanpa bercouple, kerana bagaimanapun juga kegagalan sebelum menikah akan jauh lebih ringan daripada kalau terjadi setelah menikah.

Jawabnya: Memang, mengenal fizikal dan karaktor calon isteri mahupun suami merupakan satu hal yang diperlukan sebelum memasuki alam pernikahan, agar tidak ada penyesalan di kemudian hari. Namun, tujuan ini tidak boleh digunakan untuk menghalalkan sesuatu yang telah sedia haramnya.

Ditambah lagi, bahawa orang yang sedang jatuh cinta akan berusaha bertanyakan segala yang baik dengan menutupi kekurangannya di hadapan kekasihnya. Juga orang yang sedang jatuh cinta akan menjadi buta dan tuli terhadap perbuatan kekasihnya, sehingga akan melihat semua yang dilakukannya adalah kebaikan tanpa cacat.

Sebagaimana diriwayatkan dari Abu Darda;
Cintamu pada sesuatu membuatmu buta dan tuli.

-Mendamba Kasih yang Sejati..Mardhatillah-

Etika Pemakaian dan Persembahan Artis Perlu diwujudkan

Friday, February 22nd, 2008

Untitled_1Industri hiburan tanah air baru-baru ini dikejutkan dengan suatu insiden yang telah membuka mata ramai pihak dan juga respon yang tidak putus-putus daripada media massa dan juga orang ramai ekoran insiden Faizal Tahir, ekoran perbuatannya menanggalkan baju sehingga mendedahkan badannya yang disembur dengan cat merah berbentuk `S’ ketika siaran langsung `Rockin Birthday Concert’ yang disiarkan di 8TV pada 13 Januari lalu telah mendapat perhatian serius oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Tindakan diluar dugaan naib johan program One In A Million (OIAM), yang juga pernah mengacarakan Gangstarz dan bekas ahli kumpulan nasyid Mirwana itu menyebabkan 8TV mengambil keputusan menyekat hasil royalti penjualan album dan pertunjukan pentas yang pernah dilakukan bersama artis itu.Malah SKMM juga telah mengeluarkan

kenyataan rasmi yang melarang 8TV membuat siaran langsung mahupun tertunda bagi konsert dan semua rancangan hiburan untuk tempoh tiga bulan bermula 15 Januari lalu. Kenyataan yang dikeluarkan oleh SKMM itu turut menyebut sebarang permohonan siaran langsung dan tertunda oleh stesen televisyen lain yang mahu menampilkan Faizal adalah tidak dibenarkan dalam tempoh yang ditetapkan. Malah Faizal juga dikehendaki melakukan kerja-kerja amal selama beberapa bulan.

Cukup pantas tindakan Faizal Tahir itu mendapat hukuman akibat daripada tindakannya itu yang turut menjadi isu dan topik perbualan dimana-mana sahaja. Pihak Kerajaan dan pihak-pihak yang bertanggungjawab perlu mengambil serius perkara-perkara sebegini daripada terus berulang dengan memperkenalkan satu garis panduan etika pemakaian dan etika persembahan kepada artis-artis di negara kita.

Jika isu dihangatkan baru hendak dibincangkan oleh masyarakat tetapi selama ini kita terlepas pandang mungkin bagaimana pula dengan gaya pemakaian sebahagian daripada artis-artis wanita negara kita yang gah hampir mengalahkan artis-artis barat sama ada ketika persembahan mahupun di dunia luar.

Dengan kejadian terbaru ini, tidak salah jika kita jadikan ia sebagai satu titik permulaan kepada Kementerian serta pihak yang bertanggungjawab untuk mengambil berat berkenaan dengan perkara ini.

Tambahan pula, jika kita bersandarkan kepada situasi di negara kita sekarang, majoriti remaja-remaja dan belia menjadikan artis-artis sebagai idola dan sumber inspirasi mereka. Dan jika tidak ada satu mekanisme penyeragaman etika pemakaian yang bersopan-santun maka para remaja dan belia harapan negara akan turut mengikuti contoh-contoh yang tidak baik ini dalam kehidupan mereka.

Kita tidak mahu remaja dan belia bakal pewaris kepimpinan negara yang kita impikan mereka yang bersahsiah tinggi dan berketerampilan sebagai pemimpin kelak terikut-ikut dan boleh menjejaskan kredibiliti bakal pemimpin negara.

Kita boleh mengambil contoh ramai artis dan personaliti tempatan yang sememangnya boleh dijadikan contoh dari segi etika pemakaian mereka seperti Juara AF Mawi, Wardina, Waheeda, Bienda dan ramai lagi yang jelas dikagumi dan menjadikan mereka lebih laris dalam dunia seni hiburan.

Kita perlu berfikiran terbuka dalam konteks-konteks sebegini kerana kini kita tidak dapat menafikan lagi bahawa gejala-gejala sosial yang semakin kritikal di negara kita ini kebanyakannya bermula daripada gaya pemakaian tidak bersopan-santun yang terdedah di sana-sini.

Ekoran daripada itu setiap daripada kita perlu rasa bertanggungjawab untuk memastikan kita dapat mengawal diri di samping menjaga nama baik negara kita dengan kehadiran pelancong-pelancong dan pelabur dari luar negara yang sememangnya mempunyai tanggapan yang cukup baik dan positif berkenaan negara kita.

Selain daripada saranan kepada pihak kerajaan, badan-badan bukan kerajaan juga sepatutnya turun padang  untuk bersama-sama dengan masyarakat berkempen contohnya ‘Kempen Menutup Aurat dan Berpakaian Sopan’, ‘Kempen Mahasiswa bijak, menjaga Aurat’ dan lain-lain selari dengan pembawaan kita selaku masyarakat timur yang mengenal erti malu, sopan-santun dan lemah lembut.

Tidak dilupakan juga komuniti para mahasiswa yang sememangnya kaya dengan cadangan dan pendekatan yang seiring dengan kemajuan teknologi di seluruh negara untuk bersama-sama dengan pihak kerajaan mahupun badan bukan kerajaan untuk memikul bersama rasa tanggungjawab menjaga adab-adab ketimuran kita dan persekitaran yang harmonis di negara kita ini demi kesejahteraan bersama.

El-amern MDS

Mencari Cinta Seorang Wanita..

Thursday, February 21st, 2008

Nut_1

Salam untuk semua. Saya terkejut kerana cerita saya, walaupun tergantung, mendapat sambutan yang saya tidak sangka. Oleh kerana pada hari itu saya tergesa-gesa dalam menulisnya lantaran kelas yang menghambat, maka saya ambil keputusan untuk menulisnya kembali dari mula. Saya harap para pembaca yang sudi melihat tidak bosan dengan cerita saya.

Wahai teman-teman sekalian,

Kisah ini datang dari lubuk hati saya sendiri, apa yang saya rasa dan apa yang saya alami sendiri. Saya tidak bermaksud untuk mengeluh apatah lagi mengingkari apa yang telah Allah s.w.t tetapkan kepada saya dan kita semua orang yang beriman dengan-Nya. Kisah ini saya khabarkan agar apa yang saya lalui tidak berlalu begitu saja tanpa saya kongsi dan tanpa saya rekodkan sebagai panduan bagi diri saya sendiri untuk hari-hari kemudian.

Saya sama seperti orang lain, punya keinginan untuk menyayangi dan disayangi. Walau bagaimanapun, tidak mudah bagi saya untuk jatuh hati pada seorang wanita. Saya tidak mencari seorang wanita untuk dijadikan kekasih, tetapi saya mencari seorang teman pendamping hidup saya hingga ke akhir hayat saya. Seorang yang boleh mengingatkan saya kiranya saya terlupa, dan yang paling penting wanita yang amat saya percayai untuk mendidik anak-anak saya kelak dan generasi yang akan lahir daripada keluarga kami nanti. Untuk itu, sejak di bangku sekolah lagi saya telah letakkan beberapa syarat bagi seorang wanita untuk hadir dalam hidup saya, dan dialah orangnya.

Dalam masa beberapa bulan saya belajar di sebuah pusat pengajian tinggi di Petaling Jaya, banyak perkara yang telah saya pelajari. Yang paling penting buat saya ialah, bagaimana saya mula mengenali wanita-wanita dalam hidup saya kerana saya sejak dari sekolah rendah belum pernah bergaul secara langsung dengan seorang wanita pun dan saya amat peka terhadap larangan pergaulan antara lelaki dan wanita kerana saya bersekolah di sebuah sekolah menengah agama lelaki berasrama penuh. Lantaran itu, saya tidak pernah punya hati untuk memberi cinta atau menerima cinta walaupun peluang itu hadir beberapa kali.

Saya mula mengenali si dia apabila kami sama-sama terpilih untuk mengendalikan sebuah organisasi penting di tempat kami belajar. Ditakdirkan Allah s.w.t, dia menjadi pembantu saya. Dari situlah perkenalan kami bermula.

Dia seperti yang telah saya ceritakan, bertudung labuh dan sentiasa mengambil berat tentang auratnya terutama stokin kaki dan tangannya. Itulah perkara pertama yang membuatkan saya tertarik padanya. Dia amat berhati-hati dalam mengatur butir bicaranya, bersopan-santun dalam mengatur langkahnya, wajah yang sentiasa berseri dengan iman dan senyuman, dan tidak pernah ke mana-mana tanpa berteman. Suaranya amat sukar kedengaran dalam mesyuarat kerana dia hanya bersuara ketika suaranya diperlukan dan tidak sebelum itu. Saya melihat dia sebagai seorang mukminah solehah yang amat menjaga peribadinya dan maruah dirinya. Saya tidak pernah bercakap-cakap dengannya kecuali dia punya teman di sisi dan atas urusan rasmi tanpa dipanjangkan-panjangkan. Saya seorang yang amat kuat bersembang dan sentiasa punya modal untuk berbual-bual seperti kata teman saya, tetapi dengan dia saya menjadi amat pemalu dan amat menjaga. Bagi saya, itulah wajah sebenar seorang wanita solehah. Dia mampu mengingatkan orang lain dengan hanya menjadi dirinya, tanpa perlu berkata-kata walau sepatah.

Pada hari terakhir saya di sana, saya punya tugas terakhir yang perlu saya selesaikan sebelum saya melepaskan posisi saya dan semua itu melibatkan dia. Sebaik sahaja semua kerja yang terbengkalai itu siap, saya mengambil peluang untuk berbual-bual dengan dia. Saya bertanya perihal keluarga dan apa yang dia rasa bertugas di samping saya untuk waktu yang amat sekejap itu. Alhamdulillah dia memberikan respon yang baik dan dari situlah saya mula mengenali dengan lebih dalam siapa sebenarnya pembantu saya ini. Namun, apa yang memang boleh saya nampak dengan jelas, dia amat pemalu dan dia amat kekok semasa bercakap dengan saya. Selepas itu barulah saya tahu, sayalah lelaki pertama yang pernah berbual-bual dengan dia bukan atas urusan rasmi sebegitu. Di situlah saya mula menyimpan perasaan, tapi tidak pernah saya zahirkan sehinggalah saya berada jauh beribu batu daripadanya.

Semasa saya berada di Jordan, saya menghubunginya kembali dan menyatakan hasrat saya secara halus agar dia tidak terkejut. Alhamdulillah, dia menerima dengan baik dan hubungan kami berjalan lancar selama empat bulan sebelum saya balik bercuti ke

Malaysia

. Kadang-kadang saya terlalai dalam menjaga hubungan kami dan dialah yang mengingatkan. Dialah yang meminta agar kami mengehadkan mesej-mesej kami agar tidak terlalu kerap. Semua itu menguatkan hubungan kami dan bagi saya dialah teman hidup yang sempurna buat saya.

Walau bagaimanapun, sewaktu saya pulang ke Malaysia bulan lepas, ummi dapat menghidu perhubungan kami. Saya tahu ummi tidak berapa suka anak-anaknya bercinta tetapi saya tidak pernah menjangka ummi akan menghalangnya. Tetapi perhitungan saya silap, amat silap.

Buat pertama kali, adik perempuan saya memberitahu ummi sudah tahu perihal saya dan ummi tidak suka. Saya tidak pernah menganggapnya sesuatu yang serius sehinggalah ummi bercakap secara peribadi dengan saya pada satu hari. Saya masih ingat lagi kata-kata ummi yang buat saya tak mampu membalas walau sepatah.

"I haven’t found any entry in Islam that permit what you are doing right now. I haven’t heard from anyone that love before marriage is permitted. But I know there’s no relationship between male and female except for what is very important and official between them. So, may I know what kind of relationship you are having now and I want to hear it from your mouth that it is legal in what you have been learning until now."

"Not a single phrase, nor a word."

"My sweetheart, if you want to build a family, a faithful one, you can never build it on what Allah has stated as wrong and proven false by the way Rasulullah p.b.u.h has taught us. A happy and blessed family come from Allah, and you don’t even have anything to defend it as blessed if the first step you make is by stepping into what He has prohibited. You can’t have a happy family if Allah doesn’t help you so, and you must know in every family that stands until their dying day, they have Allah on their side. You can’t expect Him to help you if you did the wrong step from the very beginning."

Saya tiada kata untuk membalas kerana semuanya benar. Saya tahu kebenaran itu sudah lama dulu, tetapi saya tak mampu untuk melawan kehendak nafsu saya sendiri. Saya akui, saya tertipu dengan apa yang dipanggil fitrah, dan apa yang dipanggil sebagai keperluan manusia. Cinta tak pernah membawa kita ke mana, andai cinta itu bukan dalam lingkungan yang Allah redha. Tiada cinta yang Allah benarkan kecuali selepas tali perkahwinan mengikatnya. Itulah apa yang telah saya pelajari lama dahulu dan dari semua kitab Fiqh yang saya baca, tiada satu pun yang menghalalkannya. Saya tahu kebenaran ini sudah lama dahulu, tetapi saya tidak kuat untuk menegakkannya. Saya tidak mampu untuk menundukkan kemahuan hati saya. Dan kata-kata ummi memberikan saya kekuatan untuk bangkit kembali dari kesilapan saya selama ini.

Ummi berkata:

"It’s not me who want you to make a decision like this, but Allah tells you so."

Saya percaya, itulah yang terbaik buat saya dan dia. Dengan kekuatan itulah saya terangkan kepadanya, dan alhamdulillah dia faham. Amat faham. Walaupun air matanya seakan air sungai yang tidak berhenti mengalir, tetapi dia tahu itulah yang terbaik buat kami. Dia meminta maaf kepada ummi kerana menjalinkan hubungan yang tidak sah dengan saya, tetapi ummi memberi isyarat, janganlah bimbang. Andai ada jodoh kamu berdua, insya-Allah, Dia akan temukan kamu dalam keadaan yang jauh lebih baik dari sekarang.

Hidup saya sekarang lebih tenang kerana tiada apa yang menggusarkan hati saya lagi. Hidup saya lebih suci dan saya boleh bercakap kembali tentang agama saya dengan lebih bebas tanpa dihantui oleh perasaan berdosa. Bagi saya, dan dia, inilah saat untuk kami muhasabah kembali diri kami dan kami betulkan kembali segala kesilapan yang telah kami buat. Inilah saat untuk kami kejar kembali cita-cita kami dan sediakan diri untuk menjadi seorang ibu dan ayah yang berakhlak mulia dan berperibadi tinggi. Inilah masanya kami insafi kembali keterlanjuran kami dahulu dan memohon moga-moga Allah sudi maafkan kami.

Sesungguhnya Ya Allah, aku insan yang sangat lemah. Aku tidak mampu melawan godaan syaitan yang tidak pernah jemu, juga hambatan nafsu yang tidak pernah lesu. Ampunkanlah aku.

Walau bagaimanapun, perpisahan ini hanya untuk sementara. Saya telah berjanji dengan diri saya sendiri, dialah yang akan jadi teman hidup saya nanti. Sesungguhnya pencarian saya untuk seorang calon isteri telah berakhir. Insan seperti dia hanya satu dalam seribu. Mana mungkin saya melepaskan apa yang amat berharga yang pernah hadir dalam hidup saya. Insya-Allah, sekiranya Allah s.w.t panjangkan umur, sebaik sahaja saya tamatkan pengajian saya di sini, saya akan kembali ke

Malaysia

dan melamarnya untuk menjadi permaisuri di hati saya. Insya-Allah, saya akan setia menunggu saat itu, dan saya akan berusaha sedaya-upaya saya untuk mengekalkan kesetiaan saya.

"Sekiranya kita telah bertemu dengan seorang insan yang amat mulia sebagai teman dalam hidup kita, janganlah lepaskannya kerana kita tidak tahu bilakah pula kita akan bertemu dengan insan yang seumpamanya."

Siapakah lagi dalam dunia ini yang menjaga adab berjalan antara lelaki dan perempuan sebagaimana yang ditunjukkan oleh Nabi Musa a.s dan puteri Nabi Syuaib a.s beribu-ribu tahun dahulu?

(kisah benar seorang sahabat alam maya, moga dapat direnungi tahapan cinta yang ditentang seorang ibu jika dibanding cinta-cinta monyet dan nafsu disekeliling kita??)

Wanita itu pohon semalu

Wednesday, February 6th, 2008

SajajaPada suatu hari, Rasulullah s.a.w berjalan-jalan bersama puteri baginda, Saidatina Fatimah r.a. Setibanya mereka berdua di bawah sebatang pohon tamar, Fatimah terpijak pohon semalu, kakinya berdarah lalu mengadu kesakitan.

Fatimah mengatakan kepada bapanya apalah gunanya pohon semalu itu berada di situ dengan nada yang sedikit marah.

Rasulullah dengan tenang berkata kepada puteri kesayangannya itu bahawasanya pohon semalu itu amat berkait rapat dengan wanita. Fatimah terkejut.

Rasulullah menyambung kata-katanya lagi. Para wanita hendaklah mengambil pengajaran daripada pohon semalu ini dari 4 aspek.

Pertama, pohon semalu akan kuncup apabila disentuh. Ini boleh diibaratkan bahawa wanita perlu mempunyai perasaan malu (pada tempatnya).

Kedua, semalu mempunyai duri yang tajam untuk mempertahankan dirinya.Oleh itu, wanita perlu tahu mempertahankan diri dan maruah sebagai seorang wanita muslim.

Ketiga, semalu juga mempunyai akar tunjang yang sangat kuat dan mencengkam bumi. Ini bermakna wanita solehah hendaklah mempunyai keterikatan yang sangat kuat dengan Allah Rabbul Alamin.

Dan akhir sekali, semalu akan kuncup dengan sendirinya apabila senja menjelang. Oleh itu, para wanita sekalian, kembalilah ke rumahmu apabila waktu semakin senja.

Ambillah pengajaran dari semalu walau pun ia hanya sepohon tumbuhan yang kecil.

Syor Cuepacs lanjut umur bersara perlukan kajian mendalam.

Wednesday, February 6th, 2008

478154903Dalam era pembangunan Negara yang mana pemecutan industriliasasi secara tidak langsung telah menggalakkan berlakunya proses urbanisasi dalam negara kita. Ditambah pula dengan kadar kelahiran yang meningkat dan populasi penduduk di negara Malaysia yang terus meningkat telah melahirkan pelbagai stigma masyarakat serta kesan positif dan tidak kurangnya kesan negatif yang akan turut bersama.

Dalam keadaan pembangunan yang pesat negara telah menampakkan dari tahun ke tahun bertambahnya mereka-mereka bergelar pelajar yang bergraduasi dan mula menjinakkan diri dalam bidang pekerjaan.  tetapi tidak semudah suatu masa dulu yang mana peluang pekerjaan telah sedia menanti.  Tetapi dengan bilangan Universiti kerajaan, swasta, kolej-kolej universiti, institut-institut pengajian dan banyak lagi yang lainlain telah melambakkan graduan-graduan muda di negara kita tetapi dengan ruang kerja yang agak terhad dalam sektor kerajaan mahupun swasta ditambah pula dengan saingan daripada graduan-graduan dari luar negara.

Sehubungan dengan itu, Cadangan Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) untuk melanjutkan tempoh perkhidmatan kakitangan awam perlu diberi perhatian agar ianya tidak dilaksanakan dengan kadar yang segara dan memerlukan kepada kajian yang cukup mendalam kerana lanjutan usia persaraan daripada 56 ke 60 tahun akan merentap semangat dan potensi graduan-graduan muda yang menanti-nanti untuk menyumbang kepada negara dengan ilmu, kesungguhan dan kepantasan ‘orang muda’ yang dimiliki.

Memang benar pengalaman yang diperoleh anggota kerajaan sedia ada selama berkhidmat dalam sektor awam dapat membantu menyumbang ke arah mencapai matlamat sesuatu organisasi itu tetapi harus difikirkan bahawa sampai bila ‘orang-orang muda’ ini perlu menunggu sedangkan mereka ini masih lagi panas dengan teori-teori yang dipelajari yang hanya menanti masa untuk diaplikasikan dan mungkin dengan pelbagai pendekatan baru yang lebih kreatif dan inovatif dalam mengendalikan sesuatu perkara sesuai dengan peredaran masa dan zaman yang menuntut lebih cabaran dan kesungguhan .

Pelantikan anggota perkhidmatan awam masa ini yang lebih kepada mereka yang bersemangat muda dan baru keluar universiti perlu diteruskan dan perlu diberikan pendedahan lebih awal untuk membiasakan mereka dengan persekitaran dan ruang lingkup kerja yang baru.

Walaupun ada pihak yang berkata majoriti anggota yang memasuki perkhidmatan awam adalah dalam umur 23 hingga 25 tahun yang masih ‘hijau’ pengalaman tetapi jika tidak diberikan ruang dan peluang pada peringkat awal ini sampai bila ‘hijau pengalaman’ itu hendak berubah menjadi warna-warna yang lain. Sudah tentu anggota kerajaan yang sudah lama berkhidmat ini pada peringkat permulaan mereka bekerja turut berada dalam keadaan yang sama tetapi dengan ruang dan peluang yang diberikan kepada mereka yang mengjadikan mereka berpengalaman seperti sekarang.

Sepatutnya kerajaan perlu mengambil langkah yang lebih drastik untuk memberikan pendekatan kepada graduan-graduan muda ini pendedahan ketika mereka masih lagi belajar dengan penempatan disektor kerajaan ketika mereka melakukan ‘latihan praktikal atau ‘Intership program’ yang dilaksanakan oleh IPT di Negara kita untuk memberikan pengalaman bekerja.  jika sudah mengikuti latihan praktikal atau latihan industri ini sudah tentu graduan-graduan muda ini mempuyai pengalaman dalam bidang yang diceburi dan tidak perlu lagi mengambil masa yang agak lama untuk tempoh penyesuaian.

Malah kita juga tidak boleh sewenang-wenangnya menjadikan negara-negara lain sebagai titik rujukan kita dalam menganalisis relevan atau tidak tempoh perkhidmatan kakitangan awam untuk dinaikkan ke 60 tahun atau lebih. Contohnya Singapura walaupun mempunyai faktor demografi hampir sama dengan Malaysia meletakkan umur persaraan pada 62 tahun tetapi harus diingat bahawa di negara mereka,  lebih ramai populasi masyarakat yang berumur dengan populasi remaja dan belia yang agak kurang jika hendak dibandingkan dengan situasi di Malaysia

Oleh sebab yang demikian maka  Cadangan Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) untuk melanjutkan tempoh perkhidmatan kakitangan awam adalah satu cadangan yang kurang menarik dalam keadaan sekarang dan perlu dilakukan kajian yang mendalam dengan mengambil kira suara dan pandangan semua pihak agar lambakan graduan-graduan berpotensi bersemangat waja ini tidak dibazirkan untuk kompetitif negara ke arah mencapai Wawasan 2020 yang memerlukan semangat ‘orang muda’ yang matang dari segi pemikiran dan tindakan untuk kejayaan bersama.

EL-AMerN MDS.