KONFRONTASI POLITIK, PELAJARAN DAN TANGGUNGJAWAB.
Mahasiswa adalah komuniti insan yang menghampiri kematangan dalam menghadapi realiti alam ini walaupun kadang-kadang ia cuba berlagak matang. Kita perlu menghargai kesungguhan mereka menghadapi masalah dengan berlagak matang..Sebagai anak muda, sifat radikal dan memberontak diselang-seli dengan sifat keanak-anakan. Ini lumrah para mahasiswa. Mahasiswa merupakan sebahagian daripada masyarakat bernegara. Setiap fenomena yang berlaku di negara ini akan turut dirasai oleh mahasiswa.
Adalah menjadi hak mahasiswa untuk menuruti setiap perkara melalui wadah yang disukai oleh mereka sama ada demonstrasi, debat ataupun menulis. Ini adalah perjuangan mahasiswa di sebalik sifat separa matang mereka. Dan risiko perjuangan perlu disahut juga diteruskan oleh mahasiswa tanpa manja kerana dalam berjuang bukan hamparan permaidani merah yang menunggu, bukan tilam lembut indah mengiring tetapi onak, duri, mehnah dan tribulasi yang sedia menanti untuk mengiringi hingga ke akhir hari.
Jika di zaman awal gerakan keterlibatan mahasiswa dalam demonstrasi Tasek Utara dan Baling menunjukkan kepekaan terhadap isu-isu rakyat. Bahkan mereka antara tenaga yang menjayakan demonstrasi itu. Kini, keadaan negara ini semakin mencabar sama ada dalam bidang sosial, politik dan ekonomi. kita perlu bangkit menyahut cabaran-cabaran yang mendatang ini dengan diri yang sentiasa bersedia dari segi ‘jasadiah’ mahupun ‘ruhiah’.
Gerakan Mahasiswa yang selama ini dikenali jurubicara rakyat haruslah diperkasakan dan janganlah terus terperuk berpeluk tubuh, tunduk ayu mahupun layu takut pada bayang-bayang sendiri. Demam kehangatan pilihanraya persekutuan sudah dirasai, gendang pilihanraya kuat dipalu, manifesto dan kempen semakin panas dengan kreativiti dan pembawaan masing-masing dalam memikat hati pengundi.
Namun persoalannya sejauh manakah mahasiswa yang layak untuk mengundi menggunakan peluang yang terhidang itu untuk memilih pemimpin dan kerajaan yang sesuai untuk mengemudi Negara tercinta kita, atau adakah kita ini termasuk dalam golongan orang yang hanya hebat dalam berbicara, manis dalam berhujah, berdentum semangat berapi kata-kata tetapi daftar pemilih pun belum?
Sebagai mahasiswa yang sudah meniti alam perjuangan di kampus sepatutnya mahasiswa sudah cukup dewasa untuk menilai siapakah dan pembawaan yang bagaimana yang terbaik untuk diri, bangsa dan agama. Terpulang kepada pemilik hati-hati kecil ini untuk memilih pemimpin yang akan memandu Negara kearah pembentukan peribadi muslim untuk individunya, keluarga muslim disetiap rumah, masyarakat muslim disetiap kawasan sehinggalah terbuktinya keindahan dan keadilan sebuah daulah islamiyah, tetapi pesoalannya bagaimana hendak memetik bintang yang indah pada pandangan mata jika 80 peratus daripada 4.9 juta rakyat yang layak mengundi masih belum mendaftar sebagai pengundi adalah terdiri daripada golongan belia?
Keterikatan mahasiswa dengan Akta Universiti Dan Kolej Universiti (Auku) yang melarang mahasiswa daripada memberikan sokongan, komitmen atau menyokong mana-mana parti politik sepertimana tertera dalam Seksyen 15 (1), (2), (3) dan (4), harus difahami dengan jelas bahawa terlibat dengan politik itu yang dilarang dan bukannya melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi. kita harus jelas bahawa mengundi merupakan tanggungjawab setiap yang bergelar warganegara apatah lagi sebagai Muslim yang mendukung pengislahan.
Jangan juga asyik bermimpi indah pangkahan undi, lipatan kertas di kotak lutsinar, dititik dakwat hitam tanda pengenalan, gemuruh jiwa bagi yang keluar mengundi kali pertama kerana Peperiksaan Akhir semester di IPT juga turut memalu gendang, meniup angin badai selembut sutera kasih. Maka, bersamalah persiapkan diri awal, kita tunjukkan pendukung Islam mampu berjaya dalam bidang akademik mahupun kokurikulum. Pastinya kudrat diperah lebih kerana kita ingin menyerlah jauh dari yang biasa, kerana kita dalam berjuang. Ingat undi kita tetap rahsia, pelajaran kita jangan dipersia.
tinta amern_mds on 07 Feb 08
(juga tersiar di ruangan pembaca Berita Harian 19 Feb 08)